Saturday, March 11, 2006

Pojok

Martabatkan bahasa Melayu yakni bahasa kebangsaan kita serta dipanggil juga sebagai bahasa Malaysia. Bahasa Melayu ini telah dimartabatkan oleh Perlembagaan Malaysia sebagai bahasa rasmi negara Malaysia, untuk digunakan di dalam negara ini sebagai bahasa percakapan harian, bahasa urusan rasmi, bahasa untuk menyatukan pelbagai kaum yang berkongsi hidup di bumi Malaysia ini. Tercapaikah hajat itu? Tengok keadaan sekeliling dan tentukan sendiri.

Mungkin sekarang khalayak mula menyedari peri pentingnya bahasa kebangsaan ini untuk kendiri sebuah negara. Pentingnya bahasa kebangsaan ini agar tidak hilang sebab ia dijadikan bahasa kebangsaan. Pentingnya juga bahasa kebangsaan ini agar ia tidak pupus ditelan masa dan dilitupi oleh bahasa lain. Transformasi adalah tidak bagi satu bahasa. Transformasi yang dimaksudkan adalah merojakkan bahasa itu sendiri. Kemudian hari, masihkah ada identiti bahasa itu?

Setelah Menteri Pelajaran membangkitkan isu bahasa ini, barulah timbul satu kesedaran baru tentang peri pentingnya kelangsungan hidup bahasa yang indah ini. Sudah ramai membangkitkan, tapi sejak dua menjak ini, bara itu semakin membara. Mungkin kerana itu kata dari Menteri Pelajaran? Dahulu, mungkin setahun, mungkin dua tahun dahulu, atau mungkin ketika Putrajaya mula dibina, ada sesorang yang mempersoalkan kewajaran menggunakan bahasa-bahasa asing sebagai menamakan tempat dan sebagainya bagi pusat pentadbiran kerajaan ini. Isu itu hilang begitu sahaja. Tiada menteri yang ingin melakukan susulan seperti Dr. Rais Yatim melakukan susulan seperti sekarang. Mungkin kerana yang meluahkan perasaan itu hanya seorang rakyat biasa? Mungkin. Segalanya mungkin di dunia ini.

Isu bahasa tidak akan selesai, tidak dalam masa yang terdekat. Kita memerlukan transformasi secara menyeluruh, bukan kepada bahasa itu sendiri, tetapi transformasi dalam kehidupan kita. Kehidupan yang sekarang ini dipenuhi dengan bahasa-bahasa asing. Kekadang bila kita di luar sana, melihat segala poster dan iklan dan sebagainya, terfikirkah kita yang kita sekarang bukan berada di Malaysia yang bahasa kebangsaannya adalah bahasa Melayu?

Cukup menyentuh isu bahasa, isu lapuk yang tak hilang dek panas, tak reput dek hujan. Menyentuh isu yang lebih semasa, mengupas isu MAS (Malaysia Airlines atau dalam bahasa Malaysianya Penerbangan Malaysia), adalah lebih elok. Bukan sebab kerugian MAS yang hendak dibincangkan, isu itupun lapuk. Elok kita membincangkan kesan-kesan yang bakal dihadapi oleh MAS andaikata keputusan tidak memihak kepada MAS dalam penyusunan semula penerbangan domestik. Memetik Utusan Malaysia, sumber-sumber dalam industri penerbangan kebangsaan itu akan kehilangan sebahagian besar laluan-laluan domestik mereka kepada syarikat penerbangan yang lain, yang buat masa ini hanyalah kepada syarikat penerbangan tambangan murah iaitu AirAsia.

Keputusan ini, mungkin bertujuan untuk menyelamatkan kewangan MAS tetapi kesan-kesan yang lain juga mempunyai kesan-kesan yang agak kuat. Satunya, dominasi yang akan diperolehi oleh AirAsia. Seperti yang kita tahu, dominasi adalah tidak sihat. Tidak sihat untuk pengguna khususnya. Dominasi tidak mewujudkan persaingan yang sihat, membuatkan pengguna tidak dapat memilih yang terbaik buat mereka dan sudah tentunya amat disukai oleh AirAsia. Pilihan yang terbaik buat pengguna tidak sama buat semua orang, maksudnya ada individu yang lebih menitikkan soal keselesaan dari soal kewangan dan juga sebaliknya.

Kesan kepada pihak MAS pula, akan membantutkan rancangan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Idris Jala, untuk melaksanakan pelan pemulihan MAS. Seperti yang diumumkan tidak berapa lama dahulu, MAS ingin kawalan penuh terhadap penerbangan domestiknya. Jika keputusan penyusunan semula penerbangan domestik oleh kerajaan tidak memihak kepada MAS, pelan pemulihan mungkin gagal. Kerajaan patut memberi peluang kepada MAS, demi MAS sendiri, demi kerajaan sendiri yang juga pemegang saham terbesar MAS melalui Khazanah Nasional Sdn Bhd dan paling penting memberi keadilan kepada rakyat.

Keputusan kerajaan memberi kesan yang amat kepada keseluruhan rakyat secara amnya. Semoga kerajaan tidak tersilap membuat keputusan sekarang seperti kesilapan kerajaan menentukan dasar-dasar dan sebagainya ketika zaman pasca-kemerdekaan dulu.