Wednesday, August 31, 2011

Selamat Hari Raya & Merdeka

Salam kepada semua,

Pada 30hb Ogos 2011, umat Islam di Malaysia telah menyambut hari kebesaran dalam kalendar Islam yakni Hari Raya Aidilfitri, hari untuk meraikan kemenangan setelah sebulan melawan hawa nafsu dan juga menunaikan kewajiban untuk Allah S.W.T semata-mata.

Hawa nafsu yang dilawan di bulan Ramadhan bukanlah hanya untuk menahan lapar dan dahaga dari waktu Subuh hingga ke Maghrib, tetapi mempunyai pengertian yang lebih meluas. Umat Islam semestinya sedia maklum di atas perkataan melawan hawa nafsu ini. Berjayakah kita? Atau kita akan kembali menjalani kehidupan seperti sediakala sebelum Ramadhan menjelma? Kembali mengikut hawa nafsu kita yang kita tinggalkan di bulan mulia bulan Ramadhan?

Semoga Syawal kali ini memberi kita lebih pengertian. Lebih pengertian menjurus kepada kawalan hawa nafsu yang telah kita melatih selama sebulan di bulan Ramadhan. Semoga kita tidak kembali hidup dalam gelumangan dosa yang kita lakukan di bulan-bulan sebulan ini.

Dan pada keesokkan harinya, rakyat Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-54. Tercalit sedikit kontroversi menjelang sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini disebabkan oleh Timbalan Presiden sebuah parti pembangkang mengeluarkan kenyataan yang amat mengguris hati majoriti rakyat di Malaysia ini, terutama pihak yang mengalami peristiwa berdarah yang dilaporkan bahawasanya Timbalan Presiden Pas ini iaitu Mat Sabu berkata bahawa pembunuh2 ahli keluarga mereka adalah sebenarnya wira negara, bukan mereka (yakni anggota-anggota Polis) yang bertugas mempertahankan balai dan juga penempatan mereka. Terbaca berita ini, tidak dinafikan kejutan melanda diri, dan kemarahan memberontak. Tetapi di bulan Ramadhan, perasaan amarah itu harus ditahan. Dan seperti biasa, penyokong-penyokong parti pembangkang ini akan mengeluarkan segala jenis fakta-fakta untuk memjustifikasikan kenyataan Timbalan Presiden parti politik mereka. Antara fakta-fakta itu adalah membandingkan kutukan yang diterima oleh Timbalan Presiden ini sama seperti keadaan Nabi Muhammad menerima kutukan-kutukan dari bangsa baginda sendiri apabila baginda mempersoalan resam bangsa Arab di zaman baginda (pembunuhan bayi perempuan dan sebagainya). Mengucap panjang. Adalah perkara ini sama? Tentu sekali tidak. Jauh sekali.

Timbalan Presiden yang amat dikenali sebagai pemidato yang hebat(?) dan diberi lesen besar oleh parti beliau untuk memperkatakan apa sahaja untuk memburukkan parti pemerintah sekarang. Biarpun parti ini mendakwa mereka memperjuangkan syiar Islam di Malaysia ini, tetapi mengikut cara ceramah mereka, cara provokasi mereka, cara tulisan mereka dan lain-lain, membuatkan orang yang tidak mengenali Islam itu akan berfikir adakah keadaan orang-orang Islam semacam ini? Berbalik kepada Timbalan Presiden parti yang satu ini, kenyataan beliau tidak boleh diterima langsung. Beliau menyokong parti berhaluan kiri semasa zaman pra-merdeka dulu sebagai pejuang kemerdekaan yang sebenar. Kenyataan beliau ini masih boleh dibahas lagi kerana parti yang disebut ini (Parti Komunis) memang bertujuan untuk membebaskan Malaysia dari penjajah British tetapi pada masa yang sama untuk menerapkan nilai-nilai komunisme sekiranya mereka berjaya, dan untuk mendirikan sebuah republik yang bertunjangkan sistem komunis, dan semestinya diterajui oleh bangsa pendatang yang satu itu. Kenyataan Timbalan Presiden ini yang langsung tidak boleh diterima oleh majoriti rakyat Malaysia adalah ketika beliau menyatakan bahasa komunis-komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong pada tahun 1950 ialah pejuang kemerdekaan yang sejati. Komunis-komunis ini telah membunuh dan mencederakan anggota-anggota polis yang bertugas mempertahankan balai tersebut dan juga ahli keluarga mereka. Huraian yang lebih panjang terhadap aktiviti-aktiviti komunis di Malaysia tidak perlu dinyatakan disini, kerana seluruh rakyat Malaysia sudah sedia maklum di atas keganasan mereka. Berapa ramai nyawa terkorban, berapa anak-anak dara menjadi mengsa, berapa anak-anak kecil menjadi yatim piatu, berapa yang menderita kecacatan.

Penyokong-penyokong fanatik yang menyokong kenyataan Mat Sabu ini renungilah. Jika datuk atau nenek moyang anda pernah menjadi mangsa kekejaman komunis ini, maka ingatilah. Fahaman politik tidak menghalalkan apa sahaja yang diucap oleh pemimpin anda sebagai betul. Jika salah, betulkan mereka. Pengerusi sekutu parti politik anda juga membuat kenyataan bahawa kenyataan Mat Sabu itu adalah mengarut. Beliau adalah antara kaum pendatang di Malaysia. Jika beliau juga tidak bersetuju, mengapa anda yang berbangsa Melayu yang menduduki negara ini sejak ratusan tahun lampau boleh bersetuju dengan kenyataan sedemikian? Berpolitik tidak salah, yang salah adalah apabila kita menerima dan mempertahankan apa sahaja kenyataan-kenyataan dan perbuatan-perbuatan dangkal pemimpin politik kita. Ini membuatkan kita tidak berotak.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh Umat Islam. Maafkan segala keterlanjuran saya, halalkan segala yang terhutang (jika tidak halalkan sila beritahu saya agar saya boleh menjelaskan hutang-hutang anda). Semoga Islam menjadi lebih kuat, dan umat Islam di Malaysia khususnya dan di dunia umumnya dapat bersatu agar Islam terus kukuh dan utuh di muka bumi Allah S.W.T ini.

Akhir kata juga saya ingin mengucapkan Selamat Hari Merdeka kepada seluruh rakyat Malaysia. Hargailan ketenangan hidup yang kita kecapi di bumi yang bertuah ini. Sama-sama la kita bersyukur dan terus berdoa agar kita terus dapat mengecapi kehidupan yang selesa di bumi Malaysia ini.

Asslamualaikum